Sunday, August 31, 2014

A Little to thanks~

Sesungguhnya, saya sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang lelaki yang sangat hebat didalam hidup saya; seorang suami yang baik, seorang ayah kepada anak saya yang penyayang, seorang anak dan menantu yang bertanggungjawab. Sesungguhnya, saya tidak pernah menyangka malah langsung tidak pernah bermimpi untuk mengahwini seorang lelaki yang hanya saya kenali sewaktu di majlis perkahwinan kakak sepupunya. Mengahwini lelaki yang saya telah jatuh cinta pandang pertama semasa di majlis itu. Tidak terlintas bahawa lelaki yang sekali di pandang membuat hati tak tenang ketika itu, telah pun menjadi suami saya yang sah. Menyingkap perkenalan pertama kali dulu, betapa hebatnya kuasa Allah dalam mengorak perhubungan kami. Pelbagai onak ranjau yang ditempuhi; putus cinta, kecewa, orang ketiga, anasir luar, penghasut tegar, itu semua hanya lah ujian kecil. Tetapi apabila diuji dengan jatuh bangun bersama, mengejar kehidupan bersama, menempuh rintangan bersama dalam pelbagai segi; kewangan, kesihatan, kekeluargaan, akhirnya kami bersatu setelah 5 tahun menyulam cinta.

Sedetik kami diijabkabulkan, saya bersyukur kerana ternyata diri ini sangat bertuah. Keluarga saya yang kecil kini sudah bertambah ahlinya. Bersyukur dikurniakan ibu dan bapa mertua yang sangat baik hati dan sangat membantu. Tidak cerewet dan paling penting menyayangi dan menerima saya seadanya. Sekaligus, saya bertuah kerana dapat merasa mempunyai seorang adik lelaki untuk menumpang kasih bermanja. Kakak-kakak yang sangat baik dan anak-anak saudara yang ramai.

Biar apa orang bercakap sekalipun, kehidupan saya terasa begitu sempurna. Kehidupan tidaklah semewah orang lain tapi suami masih mampu menyediakan dan memenuhi apa kehendak saya. Alhamdulillah. Tiada yang lebih indah selain dari menjalani kehidupan bersama orang-orang tersayang disisi dan sentiasa memaafkan semua orang. Ketenangan abadi ialah apabila kita mensyukuri segala nikmat yang ada. Tiada apa lagi yang saya mahukan kini selain daripada dikurniakan kesihatan yang berpanjangan dan juga Allah mengurniakan kesihatan berpanjangan kepada orang-orang yang saya sayang..........

No comments:

Post a Comment